Selamat Hari Pekerja 2023

28/04/2023

Selamat Hari Pekerja kepada semua insan bergelar “Pekerja”, membanting tulang memerah keringat mencari rezeki untuk melakar senyuman di raut wajah ahli keluarga demi kelangsungan hidup.

Negara menyambut Hari Pekerja setiap 1 Mei saban tahun sebagai pengiktirafan Kerajaan kepada dedikasi, sumbangan dan kejayaan warga pekerja di negara ini selaku cerucuk utama dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan negara.

Bagi mengiktiraf peranan warga pekerja kita, berikut adalah beberapa inisiatif di bawah Belanjawan 2023 bagi menyokong pembangunan Pekerja, penjanaan pekerjaan dan pendapatan individu:

Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)

Tingkatkan potensi penjanaan pendapatan anda melalui program IPR.

IPR merupakan pemerkasaan bantuan dan kemudahan bagi golongan miskin tegar dan B40 menerusi inisiatif pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan.

Untuk maklumat lanjut berhubung IPR, sila layari https://belanjawan.mof.gov.my /manfaat/faq/ipr.html

Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P)

Be a job Creator!

S1O1P oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah sebuah skim bagi golongan orang kurang upaya yang ingin mendaftarkan perniagaan dengan SSM di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

SSM melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) turut memberikan pengecualian Fi Pendaftaran perniagaan bagi usahawan B40 dan pelajar IPT Awam/Swasta bertujuan untuk menggalakkan mereka berniaga.

Untuk maklumat lanjut berhubung S1O1P dan SPPP, sila layari https://belanjawan.mof.gov.my /manfaat/faq/s1o1p.html dan https://belanjawan.mof.gov.my /manfaat/faq/sppp.html

Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP)

Anda baru memasuki pasaran pekerjaan?

MySTEP merupakan inisiatif Kerajaan yang menyediakan peluang pekerjaan jangka pendek (kontrak) di pelbagai Kementerian, Agensi Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Rakan Strategik.

Untuk maklumat lanjut berhubung MySTEP, sila layari https://belanjawan.mof.gov.my /manfaat/faq/mystep.html atau pautan di https://mystep.mof.gov.my


Di atas keprihatinan Kerajaan, banyak lagi inisiatif berkaitan pekerjaan dan penambahan pendapatan yang ditawarkan di bawah Belanjawan 2023, antaranya seperti:

• Program Kerjaya Kedua Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Memahami kekhuatiran veteran ATM yang menghadapi kesukaran untuk mendapat pekerjaan selepas umur persaraan, Program Kerjaya Kedua Veteran ATM oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dengan kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) diperkenalkan. Program ini bakal memanfaatkan seramai 5,000 veteran ATM yang berpencen tahun ini dengan jaminan dipadankan dengan peluang pekerjaan atau menerima latihan kemahiran untuk meningkatkan peluang menjana pendapatan. JHEV bersama-sama agensi Kerajaan lain akan turut menawarkan lima (5) bidang kursus antaranya pengendalian dron, keselamatan siber dan penyelenggaraan pesawat selama tiga (3) bulan

• Penawaran 35 ribu peluang kerjaya kepada belia, graduan TVET, kumpulan rentan dan veteran oleh GLC.

• Pelaksanaan latihan kemahiran di bawah HRD Corp bagi meningkatkan produktiviti dan peluang pendapatan yang bakal memanfaatkan 800 ribu pekerja.

• Program peningkatan kemahiran microcredentials di bawah Program Bina Kerjaya kepada pekerja gig menerusi tanggungan bayaran latihan sehingga RM4,000 dan elaun RM300 sebulan untuk 3 bulan sebagai menggantikan pendapatan pekerja gig hadir program latihan selain tanggungan fi latihan sehingga RM2,500 kepada 30 ribu pekerja gig untuk mereka menjalani pembelajaran berbentuk microcredentials.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://belanjawan.mof.gov.my /manfaat/faq/ binakerjaya-peserta.html dan https://belanjawan.mof.gov.my /manfaat/faq/ binakerjaya-penyedia.html bagi penyedia latihan program ini.

• Bantuan mobiliti kepada pencari kerja berupa bantuan tunai RM500 kepada pencari kerja yang mendapat pekerjaan di luar dari negeri bermastautin. Bantuan tunai sebanyak RM1,000 kepada pencari kerja yang mendapat pekerjaan dan melibatkan penghijrahan jarak jauh dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya.

• Perlindungan Sosial di mana Kerajaan akan mewajibkan semua pekerja sendiri untuk mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) secara berperingkat dan turut terpakai kepada penyedia- penyedia platform yang mempunyai Lesen Pengendali (Operating Licenses) di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Komunikasi dan Digital bertujuan memberi perlindungan kepada golongan tersebut.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://belanjawan.mof.gov.my/ manfaat/faq/sksps.html

Bagi program SPS Padanan Caruman dan SPS Madani, sila rujuk https://belanjawan.mof.gov.my/ manfaat/faq/sps-padanancaruman.html dan https://belanjawan.mof.gov.my/ manfaat/faq/sps-madani.html

• Pemberian geran bersamaan 80% daripada nilai gaji bulanan bagi menggalakkan wanita untuk kembali bekerja, sekali gus meningkatkan potensi pasaran buruh negara dalam memenuhi keperluan pembangunan negara.

• Program Pekerjaan Perantisan TVET dan Lepasan Sekolah bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET dan lepasan sekolah serta memenuhi keperluan pekerja berkemahiran oleh industri.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://belanjawan.mof.gov.my/ manfaat/faq/perkeso-tvet.html

• Pusat Satelit MYFutureJobs dan Karnival Kerjaya di UTC seluruh negara bagi capaian maklumat berhubung peluang dan khidmat nasihat berkaitan pekerjaan yang lebih meluas kepada Rakyat.


Inisiatif Belanjawan 2023 ini merupakan manifestasi komitmen Kerajaan dalam memberi penyelesaian kepada isu pengangguran dengan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh serta memperkasa kehidupan rakyat Malaysia dalam usaha menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan dan pengukuhan pasaran tenaga kerja.

Rakyat juga digalakkan untuk mengakses Portal Manfaat, sebuah inisiatif Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) bertujuan untuk memudahkan rakyat mengakses informasi terkini berkaitan skim-skim bantuan dan inisiatif merentasi pelbagai Kementerian dan Agensi secara efisien, tepat, terangkum, telus dan dipercayai pada bila-bila masa.

Mulakan carian anda sekarang di Portal Manfaat untuk memperoleh kemudahan yang ditawarkan oleh Kerajaan.

Selamat menyambut Hari Pekerja, di mana jua anda bekerja!

Ditulis Oleh: Bahagian Pembangunan Korporat LAKSANA