Belanjawan 2023 disemak lebih tinggi kepada RM386.14 bilion, KDNK tumbuh 4.5 peratus

24/02/2023

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) – Belanjawan 2023 disemak semula dengan peruntukan meningkat kepada RM386.14 bilion - jumlah terbesar dalam sejarah negara - untuk membolehkan kerajaan terus memberikan sokongan kukuh kepada pertumbuhan ekonomi.

Peruntukan belanjawan tersebut merupakan semakan meningkat daripada RM372.3 bilion yang dibentangkan pada Oktober 2022. Belanjawan 2023 pada asalnya dibentangkan oleh kerajaan terdahulu tetapi tidak dapat diluluskan sebelum Parlimen dibubarkan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 74.8 peratus akan diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala baki 25.2 peratus untuk perbelanjaan pembangunan, kata Kementerian Kewangan (MoF) Dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini yang dikeluarkan hari ini.

Peruntukan terbesar sebanyak 23.5 peratus akan disediakan untuk emolumen, subsidi dan bantuan sosial (15.2 peratus), ekonomi (14.3 peratus), bayaran khidmat hutang (11.9 peratus), perkhidmatan dan bekalan (8.3 peratus), bayaran persaraan (8.0 peratus), sosial (6.9 peratus), keselamatan (3.0 peratus), pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri (2.1 peratus), pentadbiran am (1.0 peratus) dan lain-lain (5.8 peratus).

Kementerian Kewangan berkata pembiayaan untuk Belanjawan 2023 akan diperoleh daripada cukai pendapatan iaitu sebanyak 39.9 peratus daripada jumlah peruntukan, pinjaman dan penggunaan aset kerajaan (24.5 peratus), hasil bukan cukai (19 peratus), cukai tidak langsung (14 peratus) dan cukai langsung lain (2.6 peratus).

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2023 akan memberikan fokus kepada langkah-langkah menangani peningkatan kos sara hidup, memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan meningkatkan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata kerajaan juga menelusuri kaedah untuk mengurangkan gangguan dalam pasaran serta memperkemas proses perniagaan melalui adaptasi teknologi tinggi dan digitalisasi.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat, mempertahankan integriti, memupuk masyarakat penyayang, serta meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian sektor awam dan swasta.

“Komitmen ini boleh dicapai melalui pendekatan sistematik yang yang menumpukan kepada aspek pemikiran, kerohanian dan infrastruktur, dengan berpaksikan kerangka Malaysia MADANI yang memfokuskan pembentukan masa depan dan merealisasikan potensi negara,” katanya.

Kerangka Malaysia MADANI disokong oleh enam nilai teras -- mampan, sejahtera, berdaya saing, saling menghormati, punya keyakinan, dan bersifat ihsan.

Selepas Anwar mengangkat sumpah, Dewan Rakyat pada 20 Disember meluluskan peruntukan mengurus sementara berjumlah RM163.7 bilion supaya kerajaan boleh berbelanja sebahagian anggaran perbelanjaan bagi tempoh beberapa bulan sehingga Rang Undang-undang Perbekalan 2023 dibentang semula dan diluluskan kelak.

Jumlah itu termasuk RM107.7 bilion, yang dikeluarkan dari Kumpulan Wang Disatukan, untuk membayar emolumen dan bantuan bagi enam bulan pertama 2023, dan RM55.96 bilion daripada Kumpulan Wang Pembangunan untuk membiayai projek pembangunan yang sedang berjalan.

 

Pertumbuhan KDNK 2023 dijangka Sederhana

Anwar berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan sederhana sekitar 4.5 peratus pada 2023, disokong oleh kekukuhan asas makroekonomi negara, keteguhan permintaan domestic serta keberkesanan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Seiring dengan peralihan kepada fasa endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa, Malaysia menyaksikan peningkatan jumlah ketibaan pelancong, aktiviti perdagangan dan perniagaan menyumbang ke arah pemulihan yang stabil, khususnya dalam sektor perkhidmatan.

“Oleh kerana 2023 dijangka menjadi tahun yang mencabar, kerajaan akan terus cakna terhadap sebarang cabaran ekonomi dan ketegangan geopolitik yang mendatang seterusnya akan merangka strategi dan tindakan yang bersesuaian,” katanya.

Sektor perkhidmatan dijangka terus memacu pertumbuhan ekonomi pada 2023, berkembang sebanyak 5.3 peratus disokong oleh permintaan domestik yang didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, maklumat dan komunikasi, makanan dan minuman dan penginapan, serta kewangan dan insurans.

Anwar juga berkata kerajaan kekal komited dalam mengimbangi keperluan menjaga kesejahteraan rakyat dan negara serta memastikan kedudukan fiskal yang kukuh dan mampan.

Menurutnya, matlamat untuk mengekalkan kedudukan tinggi penarafan kedaulatan negara dan memastikan kedudukan utama Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra pelabur dan perniagaan adalah penting, terutamanya dalam mencipta dan menarik pelaburan bernilai tambah tinggi bagi mencapai pertumbuhan yang berkualiti dan inklusif.

Penyegeraan projek infrastruktur dengan kesan pengganda tinggi, pertumbuhan kukuh dalam pelaburan swasta dan permintaan luar yang berterusan terutamanya dalam kalangan rakan dagangan utama akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, sumbangan sektor berkaitan pelancongan dijangka bertambah baik berikutan jangkaan kedatangan pelancong yang lebih tinggi.

“Melangkah ke hadapan, usaha akan dipergiat untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama. Pelbagai langkah akan dilaksanakan untuk meningkatkan dan memperkukuh potensi ekonomi supaya Malaysia menjadi lebih berdaya saing, mampan dan inklusif,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan terus menyediakan sokongan dasar kitaran balas serta mempercepat pembaharuan struktur untuk memperkukuh prospek pertumbuhan dan daya tahan negara.

Jumlah perdagangan negara dijangka terus berkembang kepada RM2.887 trilion pada 2023, dengan anggaran lebihan sebanyak RM264.33 bilion.

Inisiatif itu akan menumpukan kepada ketelusan, integriti dan kecekapan, khususnya dalam perolehan kerajaan, tadbir urus yang baik, dan peranan pembangunan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi parlimen, katanya.

 

Disiplin Fiskal Yang Tegas

Anwar berkata kerajaan akan memberi keutamaan kepada pengukuhan ekosistem tata kelola pada semua peringkat bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Beliau juga berkata pelbagai inisiatif telah dikenal pasti untuk menangani isu berkaitan kewangan awam, termasuk meneroka sumber hasil baharu yang mampan dan meminimumkan ketirisan.

“Ke arah mencapai inisiatif ini, kerajaan akan memberi penekanan terhadap kajian semula perbelanjaan awam dan memastikan kemampanan hutang serta meningkatkan kecekapan dalam perbelanjaan bagi jangka masa panjang.

“Ini akan meningkatkan fleksibiliti fiskal negara, membolehkan kerajaan melaksanakan langkah dasar kitaran balas dan mengekalkan daya tahan ekonomi negara,” katanya.
Menurut laporan itu, defisit fiskal dijangka mengukuh lagi kepada 5.0 peratus daripada KDNK kepada -RM93.94 bilion daripada -RM99.48 bilion pada 2022. 

 

Prestasi Cemerlang 2022

Meskipun pertumbuhan global yang lemah dan peningkatan tekanan inflasi, ekonomi Malaysia telah menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan pada 2022 dipacu oleh permintaan domestic yang kukuh dan prestasi eksport yang lebih tinggi pascapandemik COVID-19.

Pertumbuhan ekonomi negara mengatasi arah aliran serantau dan global, kembali pulih ke paras sebelum krisis sebanyak 8.7 peratus disokong oleh tindak balas dasar yang pantas dan asas ekonomi yang teguh.

Walaupun pertumbuhan global yang lemah dan tekanan inflasi yang semakin meningkat, ekonomi Malaysia telah menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan pada 2022 diikuti oleh permintaan dalam negeri yang kukuh dan prestasi eksport yang lebih tinggi selepas pandemik COVID-19.

Pertumbuhan ekonomi negara mengatasi trend serantau dan global, melantun semula ke paras sebelum krisis sebanyak 8.7 peratus hasil tindak balas dasar yang pantas dan asas ekonomi yang kukuh.

Menurut laporan itu, sektor perkhidmatan menerajui pertumbuhan pada 2022, berkembang sebanyak 10.9 peratus dan menyumbang 58.2 peratus bahagian kepada KDNK.
Pertumbuhan itu disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, serta hartanah dan perkhidmatan perniagaan.

Sektor pembuatan berkembang sebanyak 8.1 peratus dengan sumbangan 24.2 peratus kepada KDNK, pertanian (0.1 peratus/6.6 peratus), perlombongan (3.4 peratus/6.4 peratus), manakala pembinaan (5.0 peratus/3.5 peratus).

Pertumbuhan itu turut disumbang oleh permintaan luar yang kukuh terutamanya dalam kalangan rakan dagangan utama Malaysia, yang menyaksikan jumlah perdagangan menokok 27.8 peratus kepada RM2.848 trilion tahun lalu.

Lebihan perdagangan juga berkembang sebanyak 0.6 peratus kepada RM255.1 bilion pada 2022.

Ditulis Oleh: BERNAMA

Sumber : BERNAMA